SEREMBAN: Empat orang adik-beradik berusia tiga hingga 12 tahun menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka rentung dalam nahas dua buah kenderaan di Jalan Seremban-Mantin dekat Bukit Mantin, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 pagi itu, mangsa, Abdul Halim Mat Rani, 34, dan Noor Azeana Azreen Hasmadi, 32, dipercayai dalam perjalanan dari Beranang bagi menjemput anak bongsu mereka di rumah keluarga di Seremban bagi membeli baju raya.
Menurut bapa Noor Azeana Azreen, Hasmadi Ahmad, 56, dia menghubungi anak sulung dari lima beradik itu petang semalam bagi bertanyakan keadaan anaknya itu serta persiapan raya empat cucunya terdiri dari tiga perempuan dan seorang lelaki.
“Anak saya kata dia kerja dan akan balik malam. Jadi saya tanya sama ada dia sudah beli baju anak-anak ataupun belum dan dia kata akan beli esok (hari ini). Mereka enam beranak dijangka akan beraya di di Rembau iaitu kampung Abdul Halim.
“Anak saya itu berhajat raya tahun ini untuk bergambar kenangan bersama adik-beradiknya yang lain dan menunggu salah seorang adiknya yang beraya terlebih dahulu di Terengganu. Jangkaannya mereka mahu tangkap gambar adik-beradik pada raya kelima,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini, hari ini.
Difahamkan, jenazah Abdul Halim dapat diuruskan hari ini berikutan cap jari masih dapat dikesan, bagaimanapun jenazah Noor Azeana Azreen diuruskan selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Mat Ghani Lateh berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 10.25 pagi melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis BMW yang dinaiki oleh dua individu iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun dan seorang wanita berumur 32 tahun dengan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki berumur 36 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati semasa kejadian pemandu kereta yang dalam perjalanan dari arah Mantin ke Seremban ingin memotong kenderaan di hadapannya lalu hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang dipandu dari arah bertentangan.
“Ia mengakibatkan kereta jenis BMW tersebut terbakar. Akibat daripada kemalangan ini, pemandu dan penumpang kereta yang tersepit di dalam kereta telah rentung dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian manakala pemandu lori mengalami kecederaan ringan luka-luka di bahagian tangan dan kepala,” katanya hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.
“Sebarang maklumat, orang ramai boleh menyalurkannya kepada pihak Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012-9122198 bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN.