BESUT: Sepasang suami isteri mengambil inisiatif mengumpul pakaian terpakai untuk disumbangkan kepada golongan yang kurang berkemampuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Usaha pasangan Nurul Husna Radhiah Harun, 36, dan Nik Bariqi Mohd. Noor Azahar, 34, itu berjaya mengagihkan kira-kira 2,000 pasang pakaian terpakai kanak-kanak, wanita dan lelaki.
Menurut Nurul Husna Radhiah, infaq tersebut telah dilaksanakan sejak pertengahan Ramadan lalu dengan mengumpulkan pakaian terpakai dan diagihkan kepada mereka yang tidak bernasib baik.
Katanya, idea untuk mewujudkan rak infaq itu tercetus apabila melihat ramai dalam kalangan masyarakat setempat terjejas dengan ekonomi sekarang dan timbul diniat untuk membantu mereka bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Pakaian yang kita kumpul akan dipilih dahulu bagi memastikan pakaian yang didermakan itu masih dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah, setakat ini boleh dikatakan pakaian yang didermakan dalam keadaan masih elok, dan kebanyakannya baru dipakai sekali atau dua kali sahaja,” katanya ketika ditemui di Kota Putera Square di Kampung Raja di sini, kelmarin.
Beliau berkata, dia menitikberatkan kualiti pakaian yang didermakan bagi membolehkan pakaian berkenaan dapat dipakai penerima untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Tambahnya, rata-rata mereka yang datang adalah penduduk dari sekitar daerah Besut termasuk dari Jabi, Hulu Besut, serta Kampung Padang Luas.