Strok haba: Pantau pergerakan anak-anak semasa Aidilfitri

Strok haba: Pantau pergerakan anak-anak semasa Aidilfitri

DR. ZAINI HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Golongan ibu bapa diingatkan supaya memantau pergerakan anak-anak semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan terkena serangan strok haba susulan cuaca panas ‘melampau’ ketika ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Husin berkata, walaupun tiada sebarang kes baharu direkodkan selepas seorang kanak-kanak berusia 3 tahun maut akibat strok haba, namun langkah pencegahan perlu diambil.

Menurutnya, hal ini kerana JKNK tidak mahu kes sama kembali berlaku di negeri ini sepanjang musim perayaan.

“Kita akui banyak pergerakan akan berlaku terutama melihatkan kanaka-kanak. Suka saya ingatkan supaya ibu bapa mengambil tahu jika berlaku simptom seperti mual, demam, pening serta kelesuan dan cirit-birit berlaku kepada anak-anak.

“Perkara ini penting supaya kita dapat merujuk perkara itu ke hospital atau klinik berdekatan untuk tindakan awal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dr. Zaini memberitahu, pada masa sama golongan berusia serta berisiko turut dinasihatkan supaya tidak terdedah dengan cuaca panas.

Katanya, JKNK sentiasa memberikan peringatan kepada orang ramai melalui kempen di media sosial, klinik kesihatan dan sebagainya.

“Untuk makluman, suhu tertinggi dicatatkan di negeri ini ialah 39 darjah celcius,” ujarnya.

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu hantaran di laman sesawangnya memaklumkan Gua Musang mencatatkan bacaan kepanasan pada tahap dua manakala tahap satu melibatkan Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan terdapat satu kes kematian akibat strok haba telah berlaku.

Nadma dalam satu kenyataan berkata, kematian tersebut berlaku pada 1 April lalu melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Kelantan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN