KUALA LUMPUR: Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut esok, orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi pusat beli-belah dan bazar bagi membeli barangan keperluan.
Kebanyakan mereka lebih suka mengunjungi bazar Hari Raya Aidilfitri pada saat akhir kerana lebih mudah untuk mendapatkan potongan harga yang lebih banyak berbanding hari biasa.
Seorang pengunjung bazar Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Rosinah Mohd Nor, 51, berkata, berbelanja di saat-saat akhir memberi kelebihan dan juga keburukan.
“Saya boleh berunding dengan peniaga untuk dapatkan potongan harga lebih banyak jika berbelanja saat akhir. Contohnya, jika harga baju kurung berharga RM100 sepasang, saya mungkin boleh beli dengan harga RM60 selepas diskaun.
“Namun, bukan semua perkara boleh dijangka apabila berbelanja saat akhir, lebih-lebih lagi jika baju yang diingini sudah habis saiz atau warna.
“Jika itu berlaku, tidaklah murah atau mahal, pasti rasa kecewa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jalan TAR di sini, semalam.
Selain itu, Rosinah juga memberitahu, harga barangan di bazar lebih berpatutan berbanding di pusat beli-belah yang diskaunnya tidak banyak.
Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Fazilah Sulaiman, 53, berkata, dia lebih mengutamakan persiapan juadah berbanding baju dan kuih raya.
Menurutnya, kos hidup yang semakin mencabar membuatkan dia dan keluarganya mengutamakan keperluan sahaja.
“Kami hanya beli baju raya sepasang seorang, selebihnya kami keluar belanja beli barang masak kerana itu lebih penting,” ujarnya.
Bagi peniaga baju Melayu, Fatihah, 31, jualan di saat akhir semakin meriah biarpun jumlahnya tidak tinggi seperti tahun-tahun sebelum ini. – UTUSAN