TAMPIN: Seorang tukang jahit menjadikan tempoh masa seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri dengan menyediakan perkhidmatan mengubah suai (alteration) baju raya kepada pelanggan.
Rafidah Omar Sidi, 51, berkata, keputusan yang dibuatnya itu berbaloi kerana dalam tempoh tersebut, dia menerima 500 tempahan dengan upah bayaran mencecah RM3,000.
Menurutnya, bagi memastikan dirinya boleh menawarkan perkhidmatan tersebut tahun ini, dia memastikan kesemua tempahan jahitan baju yang diterimanya dapat disiapkan seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Tahun-tahun sebelum ini ramai yang bertanya sama ada saya membuat khidmat ubah suai, saya memberitahu tidak kerana masih belum menyiapkan baju pelanggan.
“Bagaimanapun, tahun ini saya bersama enam pekerja termasuk anak serta empat pekerja sambilan berjaya menyiapkan baju pelanggan lebih awal.
“Ramai yang mahu baiki baju kurung, baju kebaya dan baju Melayu kerana pakaian yang mereka beli sudah siap mengikut saiz, namun apabila dipakai, ada yang terlebih panjang atau terlalu besar, mahu atau tidak memang mereka perlu membaikinya,” katanya ketika ditemui di Bengkel Jahitan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) Tampin di sini,” katanya. – UTUSAN