Reman lelaki Israel disambung tujuh hari

Reman lelaki Israel disambung tujuh hari

KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lelaki Israel, Shalom Avitan, 38, yang ditahan kerana memiliki enam pucuk pistol disambung reman tujuh hari lagi apabila tempoh reman sebelum ini tamat semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan sambung reman terhadap Shalom dibuat bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan secara terperinci.

Menurut beliau, siasatan pihak polis kini tertumpu kepada motif sebenar Shalom selain tujuannya memiliki enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.

“Kita masih memerlukan sedikit masa dalam mengumpulkan segala bukti kukuh berkaitan suspek utama dan pasangan suami isteri tempatan itu.

“Seorang daripada suspek yang ditahan di Cameron Highlands, pada 29 Mac lalu, yang berperanan sebagai pemandu kepada Shalom, sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan terhadapnya selesai,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dalam pada itu, Razarudin enggan mengulas berkaitan laporan sebuah akhbar yang mendakwa penjenayah seteru, Eran Haya diburu Shalom sebelum ini dalam tahanan pihak polis.

“Setakat ini seramai 15 suspek yang direman polis sedang disiasat lanjut bagi mengenal pasti pembabitan mereka dalam kes ini,” katanya.

MEMILIKI

Pada 27 Mac lalu, Shalom yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini. Pemeriksaan ke atasnya membawa kepada penemuan enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru.

Razarudin mendedahkan, lelaki kelahiran Israel itu masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia pada 12 Mac lalu.

Susulan tangkapan tersebut , polis kemudian memberkas pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada 29 Mac. Pasangan tersebut disyaki menjual enam senjata api kepada Shalom.

Selain itu, pemeriksaan ke atas suami isteri itu juga membawa kepada penemuan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang milik pasangan itu. Polis kemudian menangkap seorang lelaki yang disyaki menjadi pemandu kepada lelaki Israel terbabit.

Setakat ini, seramai 12 lagi individu termasuk tiga warga asing ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Kontinjen Polis Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam beberapa siri serbuan di Johor, Kelantan dan Lembah Klang.

Kesemua mereka disiasat kerana terbabit dalam pengedaran senjata api yang dirampas, terbabit dalam aktiviti pembayaran wang kripto untuk urusan pembelian senjata serta kesalahan-kesalahan lain. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN