KUANTAN: Sampai masanya kerajaan dan pihak berwajib bertindak serius bagi meningkatkan kesedaran sivik orang ramai yang makin terhakis apabila tanpa rasa malu membuang sampah di merata-rata tempat termasuk di tepi lebuh raya.
Populasi penduduk Malaysia kira-kira 34 juta ketika ini akan terus bertambah setiap tahun, ia bermakna lebih banyak sampah akan dihasilkan, jadi penting budaya dan disiplin pengurusan sampah diterapkan dalam diri setiap rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Institut Tarbiah dan Teknologi Islam (INTERGRASI), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, perkara itu perlu diubah kerana perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut mengundang pencemaran alam sekitar.
“Dalam soal pengurusan sampah ini, kesedaran sivik perlu ada dalam diri masyarakyat kerana ia merupakan pemahaman, penghayatan peranan dan tanggungjawab kita sebagai warganegara.
“Ia seharusnya ada dalam diri setiap individu dan perlu dipupuk, dibajai dan dibudayakan. Justeru, mewujudkan kesedaran sivik adalah usaha bersama yang memerlukan penglibatan serius semua pihak,” katanya di sini semalam.
DILAPORKAN
Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata, kerajaan negeri belum berhasrat untuk mengenakan sebarang tindakan kepada pengguna jalan raya yang membuang sampah sewenang-wenangnya di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Wan Rosdy berkata, pihaknya berpandangan adalah tidak adil mengenakan tindakan kepada mereka kerana kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang sepatutnya termasuk hentian rawat dan rehat (R&R).
Mengulas isu sampah di LTU, Zuhairi berkata, ketiadaan kemudahan R&R bukan alasan untuk melakukan perbuatan terbabit kerana ia memberikan gambaran tidak baik tentang sikap segelintir pengguna jalan raya.
“Perbuatan membuang sampah tidak sepatutnya berlaku jika sikap dan disiplin diri ada terutama untuk memastikan sepanjang LTU itu bebas daripada sampah.
“Sepatutnya sampah yang ingin dibuang itu disimpan dalam kenderaan dengan menyediakan plastik atau tong sampah kecil dan apabila tiba di destinasi yang mempunyai kemudahan tong sampah, boleh membuangnya,” katanya.
Jadi beliau, mewujudkan kesedaran sivik adalah usaha bersama yang membabitkan individu itu sendiri selain keluarga, sekolah, sistem pendidikan dan masyarakat sekitarnya.
“Jika tiada kesedaran sivik, kita dapat lihat di R&R pun sampah bersepah kerana pengguna tetap buang sampah merata tempat walaupun ada tong disediakan,” katanya. – UTUSAN