KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu tidak melepaskan peluang untuk mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negara hari ini bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Di Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara.
Turut serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Jemaah Menteri beragama Islam.
Di Perlis, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 1,200 jemaah di Dataran Istiadat, Istana Arau yang diimamkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Di Kedah, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir.
Turut bersama lebih 3,000 jemaah ialah Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Di Pahang, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah, Temerloh.
Di Johor, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar, Johor Bahru bersama lebih 1,000 jemaah.- UTUSAN