KOTA BHARU: Polis Kelantan sudah mengenalpasti identiti penulis yang memuat naik hantaran dilaman sosial berkait dakwaan berlakunya kes pedofilia melibatkan seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat baru-baru ini.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penulis berkenaan merupakan seorang wanita dan siasatan berkait kes berkenaan masih berjalan.
“Walaupun penulis dakwaan itu enggan membuat laporan polis berhubung kes tersebut, namun polis akan tetap siasat.
“Siasatan kita turut menjurus kepada siapa yang penulis maksudkan itu. Penulis dapat tahu benda (kejadian) itu berlanjutan…dengan siapa, kita akan semak latar belakang kenapa dia berkata begitu.
“Adakah dia bermasalah di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Ops Selamat 22/2024 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Binjal di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Urusan SIRIM QAS International Sdn. Bhd Aminudin Abd. Aziz.
Muhamad Zaki memberitahu, setakat ini polis sudah memanggil ramai saksi untuk dirakam percakapan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Katanya, polis akan berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin.
“Kita nak tengok apa yang sebenarnya berlaku. Bila jadi begini ia akan menjejaskan karier seorang guru.
“Jadi jangan buat sebarang spekulasi,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan memberi jaminan siasatan kes seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat yang didakwa melakukan pedofilia terhadap seorang murid lelaki akan selesai dalam tempoh sebulan.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika ini pihaknya sudah memanggil empat orang saksi bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.-UTUSAN