Peras ugut: Reman dua anggota polis BSI disambung sehari - Utusan Malaysia

Peras ugut: Reman dua anggota polis BSI disambung sehari

TEMPOH reman terhadap dua anggota polis yang didakwa memeras ugut seorang lelaki di BSI, Johor Bahru Selasa lalu disambung sehari lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perintah tahanan reman terhadap dua anggota polis yang disyaki terlibat memeras ugut seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini Selasa lalu disambung sehari lagi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tambahan reman hingga esok itu bagi membolehkan kertas siasatan dilengkapkan oleh pihaknya.

“Kedua-duanya dibenarkan lanjut reman satu hari sehingga 9 April. Mereka juga akan diwakili peguam. Perintah tambahan reman itu dikeluarkan Majistret, Suhaili Sapun,” katanya di sini hari ini.

Kelmarin, kedua anggota berusia 32 dan 33 tahun itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan setelah polis menerima laporan seorang lelaki mendakwa telah diperas ugut oleh kedua-dua suspek ketika dalam perjalanan pulang ke negara ini di BSI.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim mendakwa diperas ugut dua lelaki berpakaian preman yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis selepas dibawa ke sebuah bilik berasingan yang hanya boleh diakses menggunakan kad dan boleh dibebaskan sekiranya sanggup membayar RM2,000.

Namun, dia memberitahu hanya memiliki RM1,000 dalam akaun dan selepas itu salah seorang daripada suspek membawanya ke mesin ATM di Taman Pelangi untuk mengeluarkan duit.

Namun, duit itu tidak diambil anggota terbabit yang telah meninggalkannya di sebuah hentian bas dan beredar dengan alasan perlu kembali bertugas di balai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN