Perantau pulang, laluan Gua Musang dijangka sibuk bermula esok

Perantau pulang, laluan Gua Musang dijangka sibuk bermula esok

SIK Choon Foo (dua dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada pengguna jalan di laluan Gua Musang-Kuala Lipis, di Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tanah Putih, Gua Musang, Kelantan semalam-UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Laluan utama di daerah ini dijangka kembali sibuk dengan kenderaan perantau yang akan pulang ke ibu kota bermula esok.airair

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya sentiasa bersedia dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan lalu lintas lancar.

Menurutnya, pengguna jalan raya diharap dapat membuat persediaan awal dan merancang perjalanan mereka sebaik mungkin untuk pulang ke ibu kota.

“Pengguna jalan raya harus sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur di atas jalan raya dan memastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan baik.

“Pemandu juga perlu mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan dan tidak mengekori kenderaan terlalu rapat sehingga boleh menyebabkan berlaku kemalangan jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, pengguna jalan raya diingatkan supaya mengunci kenderaan semasa parkir di kawasan awam seperti hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan masjid ketika berhenti rehat.

“Barang-barang berharga perlu dibawa bersama supaya tidak menarik perhatian penjenayah untuk melakukan jenayah.

“Selain itu, pastikan bilangan ahli keluarga cukup sebelum bergerak pulang bagi mengelak berlaku kes tertinggal anak di R&R,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Choon Foo memberitahu, sebanyak 49 laporan kemalangan kecil dan dua kemalangan maut direkodkan dalam tempoh empat hari menjelang Hari Raya Aidilfitri lalu.

Katanya, kebanyakan kemalangan berlaku apabila banyak kenderaan masuk ke Kelantan melalui pintu masuk Gua Musang dan pemandu terlibat mengekori kenderaan lain terlampau rapat sehingga menyebabkan perlanggaran berlaku pada bahagian belakang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN