Pengasas Vern’s tampil mohon maaf, akui silap

Pengasas Vern’s tampil mohon maaf, akui silap

Ng Chuan Hoo
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak sampai 24 jam menerbitkan kenyataan permohonan maaf, pengasas Vern’s Holdinga Sdn. Bhd. (Vern’s) kemudian tampil sekali lagi melakukan perkara sama berikutan isu tulisan mirip kalimah Allah pada tapak kasut wanita jenama keluaran syarikatnya.

Ketika ditemui di sini, Ng Chuan Hoo menzahirkan permintaan maaf secara terbuka kepada umat Islam berhubung salah faham tersebut.

“Walaupun mungkin berlaku salah faham, saya memahami telah menyakitkan dan tidak menggembirakan masyarakat Islam, maka saya mohon maaf atas isu ini,” katanya.

Terdahulu, Chuan Hoo hadir seorang diri ke Blok A, Kompleks Islam Putrajaya kira-kira pukul 11 pagi, bertemu beberapa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengarahkan Jakim segera memanggil pengurusan syarikat berkenaan.

Langkah itu bagi mendapatkan penjelasan susulan tular di media sosial yang memaparkan logo mirip kalimah Allah di tapak kasut jenama tempatan tersebut.

TERKENAL

Vern’s yang ditubuhkan pada 2009 dan beribu pejabat di Subang Jaya, Selangor, terkenal dalam memasarkan pelbagai jenis produk wanita di lebih 60 premisnya di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Chuan Hoo berkata, beliau terharu malahan berterima kasih kepada Jakim yang melayannya dengan baik serta banyak memberikan tunjuk ajar.

“Langkah berikutnya pula, saya sedia bekerjasama termasuk membantu siasatan pihak polis dan memberikan jaminan akan lebih sensitif serta berhati-hati selepas ini,” jelasnya.

Ditanya sama ada Jakim mengarahkan produk tersebut ditarik balik, Chuan Hoo berkata, secara kebetulan ketika isu ini meletus, beliau sendiri mengarahkan kasut itu segera tidak dijual.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 1,145 pasang kasut jenama Vern’s dirampas di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah.

“Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan berurusan dengan Jakim untuk melihat adakah logo itu mengikut reka bentuk kasut atau melambangkan tulisan khat kalimah Allah,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, siasatan akan diteruskan dengan memanggil syarikat pengeluar kasut tersebut.

“Setakat ini, sebanyak lapan laporan polis dibuat berkaitan isu ini,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN