Penduduk Flat Bukit Gedung khuatir beraya tanpa air

Penduduk Flat Bukit Gedung khuatir beraya tanpa air

PENDUDUK Flat Bukit Gedung di George Town, Pulau Pinang yang berdepan masalah tekanan air rendah sejak awal Ramadan lalu kini berdepan risiko untuk menyambut Aidilfitri tanpa air pada tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Lebih 5,000 penduduk di Flat Bukit Gedung di sini tertekan apabila masalah tekanan air rendah sejak awal Ramadan belum diselesaikan.

Walaupun banyak aduan telah dibuat namun masalah tekanan air rendah semakin meruncing sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk di flat itu.

Malah, penduduk di 980 unit kediaman di 20 blok itu bimbang sekiranya mereka terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan rumah mengalami gangguan bekalan air.

Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Bukit Gedung, Mohd Farook Hasan Ali berkata, masalah tekanan air itu bermula selepas paip di dasar Sungai Perai diganti kerana bocor pada awal tahun ini.

“Semasa awal Ramadan masalah ini semakin meruncing apabila penduduk di tingkat tiga hingga tingkat lima flat hanya menerima bekalan air pada pukul 2 pagi hingga 8 pagi sahaja.

“Sehingga kini, masalah ini berlarutan dan kami juga telah mengemukakan aduan kepada pihak terlibat, namun, tiada penyelesaian daripada pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP),” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pihak PBAPP hanya memberikan maklum balas bahawa isu itu berlaku akibat musim kemarau sehingga menyebabkan tekanan air rendah.

“Kehidupan seharian penduduk terjejas hampir sebulan, bayangkan kami terpaksa menunggu sehingga pukul 2 pagi bagi menadah air dan air akan habis pada pukul 8 pagi.

“Kami juga mungkin terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan air tiada di rumah masing-masing sekiranya isu tekanan air rendah ini masih gagal diatasi pihak berkuasa air,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Salmi Abu Bakar berkata, penduduk amat berharap PBAPP dapat menyelesaikan isu tekanan air rendah di flat berkenaan dengan segera. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN