Pemuda UMNO Johor buat laporan polis terhadap Hezry - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Johor buat laporan polis terhadap Hezry

MADYASIR Ahmad Basir (dua dari kiri) dan sebahagian Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kesemua 26 Bahagian Pemuda UMNO negeri ini akan membuat laporan polis susulan kenyataan pemimpin muda Pas Selangor, Hezry Yasin yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, laporan itu akan mula dibuat hari ini dan menegaskan bahawa amalan mendoakan ketua agama dan pemerintah merupakan rutin di semua masjid dan surau di seluruh negeri ini.

“Amalan ini bukan sekadar menjadi rutin setiap kali selepas solat Jumaat, malah selepas solat fardhu setiap waktu di masjid dan surau di seluruh negeri kerana doa adalah kunci kekuatan dan rahsia kejayaan umat Islam.

“Doa kepada ketua agama dan pemerintah menjadi kunci dan rahsia yang telah memberi kesejahteraan serta keamanan dikecapi oleh seluruh rakyat di negeri Johor selama ini. Islam juga menganjurkan setiap Muslim mendoakan sesama umat dan saudara sesama Islam, termasuk ulul amri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Justeru, Nor Azleen meminta individu yang hanya sesekali berkunjung ke negeri ini untuk menghormati budaya dan amalan setempat sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Yang sekali-sekala tunggu raya setahun sekali baru nak balik rumah keluarga mentua tak perlu nak tunjuk pandai. Itu pun nasib baik masih dibukakan hati nak balik beraya rumah mentua,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Madyasir Ahmad Basir memberitahu, laporan polis dibuat pihaknya supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap Hezry.

“Kenyataan ini berunsur fitnah, ia seolah-olah menjatuhkan institusi diraja di negara ini. Sehubungan itu laporan polis ini dibuat kerana kami tidak mahu tindakan menunjukkan rasa tidak hormat kepada golongan diraja terus menjadi-jadi,” tegasnya.

Terdahulu, dalam hantaran Facebook Hezry yang telah dipadamkan mendakwa enggan mendoakan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana tidak memperjuangkan agama Islam di negara ini, namun dia memuat naik permohonan maaf atas tindakan tersebut yang merupakan pandangan peribadinya dan bukan mewakili parti politik disertainya.

“Saya mohon maaf atas kekhilafan saya. Penulisan saya itu adalah pandangan peribadi saya. Sungguh, memang langsung tak ada niat menghina institusi beraja.  Apa-apa pun, sekali lagi saya mohon maaf buat semua dan saya tidak menafikan doa untuk sesama Muslim itu sangat baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN