JEMPOL: Cubaan seorang pemandu lori untuk meloloskan diri dari sekatan jalan raya (SJR) gagal apabila dia ditangkap selepas dikejar anggota polis lebih 50 kilometer dalam kejadian di Kilometer (KM) 9, Jalan Bahau-Kemayan, di sini, semalam.
Kejadian tersebut malahan memaksa polis untuk melepaskan 10 das tembakan di bahagian tayar lori bagi tujuan memberhentikan kenderaan dipandu lelaki itu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah hari itu, telah berlaku satu aksi kejar mengejar di antara lori berkenaan dengan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) serta kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa sepasukan pegawai dan anggota polis trafik sedang menjalankan tugas SJR di KM 9 Jalan Bahau Kemayan. Ketika itu terdapat sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 21 tahun secara tiba-tiba telah membuat pusingan ‘U digarisan berkembar.
“Tindakan itu telah menyebabkan berlaku kemalangan dengan sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 40 tahun dan suspek kemudiannya bertindak untuk cuba melarikan diri dan dikejar polis,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, ketika aksi kejar mengejar sedang berlaku, pemandu lori tersebut telah memandu secara berbahaya dan menghimpit beberapa kali motosikal yang ditunggang oleh seorang anggota polis trafik ke laluan bertentangan dan hampir melanggar anggota tersebut serta pengguna jalan raya yang lain.
“Dalam situasi itu, anggota polis tersebut telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan di bahagian tayar lori bagi memberhentikan kenderaan tersebut tetapi suspek tetap enggan dan terus melarikan diri dalam keadaan tayar yang pecah.
“Bagaimana pun dengan bantuan kereta peronda, suspek telah berjaya ditangkap di dalam kawasan ladang sawit Felda Serting Hilir 8 dan suspek kemudiannya dibawa ke IPD Jempol bagi siasatan lanjut.
Menurutnya, suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Seremban.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sehubungan itu, polis meminta agar saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jempol, Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd. Faisal di nombor 016-3627746.-UTUSAN.