Pelita Raya meriah Felda Wilayah Jengka - Utusan Malaysia

Pelita Raya meriah Felda Wilayah Jengka

ZAABA Zainal Abidin ceria menyertai program Pelita Raya Jengka di Hati di Felda Raya Jengka 14 di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Warga peneroka Felda Wilayah Jengka meneruskan tradisi masyarakat Melayu iaitu amalan menghias halaman rumah dengan menyalakan pelita raya.

Pelita raya dipasang di sekeliling rumah dan sepanjang jalan di Felda wilayah itu untuk menerangi dan menceriakan suasana pada waktu malam bagi menyambut ketibaan bulan Syawal.

Ketua Peneroka Felda Raya Jengka 14, Arifin Wahab berkata, penduduk di tanah rancangan terbabit bersepakat mengekalkan amalan pelita raya zaman berzaman itu yang semakin dilupakan generasi baharu.

“Sebanyak 21 blok menyertai program ini membabitkan peneroka dan generasi baharu menghiasi laman dengan kepelbagaian jenis pelita, hiasan dan kreativiti menggunakan bahan tradisional dan moden.

“Gabungan lampu elektrik, solar dan pelita pancut yang dipasang mengimbau kenangan generasi lama dan memberi pengalaman berguna kepada generasi baharu Felda.

“Kediaman paling cantik dan kreatif akan dinobatkan sebagai pemenang dan akan diumum selepas hari raya ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Afirin, Felda Jengka menganjurkan program Pelita Raya Jengka di Hati 2024 secara meluas untuk menghidupkan kembali tradisi memasang pelita pada bulan Ramadan dan Syawal seperti zaman dahulu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, tradisi memasang pelita di 37 tanah rancangan Felda di situ memeriahkan suasana menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, sambutan warga Felda dari semua golongan menghias rumah dan blok masing-masing dapat mengeratkan hubungan antara penduduk.

“Program ini akan dijadikan acara tahunan dengan skala lebih besar melibatkan semua warga peneroka di 37 tanah rancangan Felda dalam Wilayah Jengka dan menawarkan hadiah lumayan,” katanya.

Seorang generasi baharu Felda Jengka 14, Zaaba Zainal Abidin, 48, berbelanja kira-kira RM1,000 membeli lampu ‘lip lap’, membuat pelita pancut dan menceriakan kawasan persekitaran dengan landskap menarik.

“Saya teruja dapat menyumbang tenaga dan idea bagi mengembalikan tradisi lama yang semakin dilupakan iaitu memasang pelita bermula dari malam tujuh likur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN