KOTA BHARU: Pas menegaskan parti itu akan meneliti terlebih dahulu isi kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang yang akan dikemukakan oleh Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, parti itu menyambut baik keputusan Kerajaan Perpaduan berkait perkara tersebut.
“Besar harapan kita (Pas) supaya perkara (peruntukan) ini memberikan kesan positif untuk PN. Kita juga berharap langkah ini akan mengembalikan fungsi semak imbang pembangkang yang lebih efektif dalam membangunkan negara.
“Saya yakin dengan ada peruntukan ini ia memboleh kita (Ahli Parlimen Pembangkang) membantu rakyat dalam kawasan yang diwakili, khususnya dalam menyusun pembangunan,” katanya kepada pemberita semasa Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Utusan Online hari ini melaporkan, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasar bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat itu di Sri Perdana, di sini semalam.
Menurut beliau, ke arah itu satu deraf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.
Tindakan itu, susulan perjumpaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengannya di Parlimen pada 19 Mac lalu.
Perjumpaan itu membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.-UTUSAN