GOPENG: Siapa sangka, bermula sekadar suka-suka membuat pelita buluh atau panjut untuk dipasang di sekeliling rumah, kini apabila tiba bulan Ramadan ia menjadi sumber rezeki buat lima bersaudara dari Kampung Gunung Mesah Hulu di sini.
Mohd. Noor Ashraf Mohd. Nadzri, 27, berkata, idea menghasilkan pelita buluh itu tercetus ketika dia bersama ipar duai duduk berkumpul ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Katanya, niat mereka ketika itu adalah untuk mewujudkan kemeriahan suasana menjelang Aidilfitri yang suram apabila negara dilanda pandemik Covid-19.
“Ketika PKP, kami duduk di rumah dan tidak tahu nak buat apa, jadi abang ipar bagi idea untuk kami buat pelita buluh. Masa itu, tidak terfikir pun untuk jual sebab memang niat untuk pasang di sekitar rumah.
“Tapi, bila gambar pelita itu dimuat naik di Facebook, ramai yang beri maklum balas. Bermula dari situ kami terfikir untuk berniaga dan jadikan ia pendapatan tambahan untuk raya,” katanya ketika ditemui di sini
Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, mereka belajar membuat pelita buluh dengan melihat video melalui YouTube dan Facebook.
Katanya, walaupun agak sukar pada mulanya, namun berkat kerjasama, proses menghasilkan pelita buluh itu menjadi lebih mudah.
Mohd. Noor Ashraf berkata, pada tahun pertama menjual pelita buluh, mereka tidak menyangka dapat memperoleh untung bersih sehingga RM3,000.
Pada tahun 2022, jualan pelita buluh mendapat sambutan paling baik dan laris.