Paip ‘kering’, sambutan Aidilfitri 1,000 penduduk terjejas - Utusan Malaysia

Paip ‘kering’, sambutan Aidilfitri 1,000 penduduk terjejas

MOHD. JAFNI Md. Shukor (kanan) melawat kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Sambutan Hari Raya Aidilfitri lebih 1,000 penduduk di daerah ini terjejas ekoran gangguan bekalan air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor berkata, antara kawasan yang terjejas Murni Jaya, Kampung Sri Muar dan Felda Bukit Permai dan keadaan bertambah teruk apabila lori tangki yang disediakan Ranhill SAJ lambat sampai.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri telah menyuarakan kebimbangan kemungkinan berlaku gangguan bekalan air, namun Ranhill SAJ memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku dan lori tangki sudah dijadualkan bersedia menghantar bekalan.

“Dua minggu sebelum Syawal menjelma, saya telah turun sendiri ke Ranhil SAJ Kluang mendengar taklimat setiap gerak kerja jangka pendek, sederhana dan panjang yang dilaksanakan untuk isu bekalan air terputus ini.

“Di Kampung Sri Muar contohnya bekalan air terputus selama empat hari. Malah untuk Syawal kali ini Masjid Felda Bukit Permai tiada bekalan air.

“Apalah makna segala lawatan dan kerja yang dilaksanakan dengan kos jutaan ringgit tetapi masalah tetap berlarutan,” katanya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebooknya.

Beliau nyata kecewa dengan perkhidmatan Ranhill SAJ kerana apa yang dijanjikan tidak ditunaikan. 

“Saya tidak minta Ranhill SAJ sediakan tangki di setiap rumah. Malangnya, Ranhill SAJ yang dinyatakan telah bersedia tidak bersedia langsung. Saya amat berharap masalah ini boleh diselesaikan segera. Saya telah berusaha menggunakan segala cara dan kaedah untuk membantu memudahkan segala urusan pihak Ranhill SAJ agar masalah ini boleh selesai segera,” katanya.

Katanya, masalah bekalan air terputus di tiga kawasan berkenaan adalah isu yang sudah berlarutan sejak berbelas tahun dan lebih kritikal berlaku pada musim perayaan. 

Menurutnya, bagi tempoh dua tahun diberi amanah menjadi Exco dan ADUN Bukit Permai, pihaknya telah melaksanakan gerak kerja secara agresif untuk menyelesaikan isu itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN