KUALA LUMPUR: Sarawak dijangka memulakan operasi syarikat penerbangan milik negeri itu pada 2025, selepas proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn. Bhd. (MASwings) selesai.
Pada 11 Mac lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg memberitahu, proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings dijangka selesai pada penghujung tahun ini.
Abang Johari hari ini berkata, nama syarikat penerbangan milik Sarawak sudah ada, bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama tersebut.
Katanya, pada masa ini, proses pengambilalihan MASwings oleh kerajaan negeri sedang berlangsung selepas dipersetujui secara prinsip oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Aviation Group.
“Apa yang berlaku kini ialah perbincangan mengenai aspek teknikal pengambilalihan tersebut. Saya jangka mungkin pada bulan Ogos atau selewat-lewatnya hujung tahun ini boleh selesai. Kita akan ada syarikat penerbangan kita sendiri pada 2025.
“Nama syarikat penerbangan juga sudah ada, tapi kita tidak boleh umum dulu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini.
MASwings iaitu Syarikat Penerbangan Komuter Malaysia Timur yang pertama, bertujuan memenuhi keperluan perjalanan udara penduduk Sarawak dan Sabah dengan menyediakan tambang berpatutan, jadual dan hubungan yang mudah di kedua-dua wilayah itu.
Ditubuhkan pada 1 Oktober 2007 untuk mengendalikan perkhidmatan luar bandar (RAS) dari FlyAsianXpress, MASwings memulakan operasi secara rasmi pada 1 Oktober 2007 dengan menggunakan pesawat enjin kipas yang dikendalikan oleh FAX – tujuh pesawat Fokker F-50 dan lima Twin Otter.
Pada 15 Jun lalu, kerajaan Sarawak dilaporkan bersetuju mengambil alih MASwings selepas berunding dengan kerajaan Persekutuan.
Pada 20 Julai lalu, media melaporkan, rundingan pengambilalihan saham MASwings antara kerajaan Sarawak dengan Khazanah Nasional Berhad berjalan lancar.
Abang Johari berkata, pengambilalihan saham syarikat itu ditawarkan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan kerajaan Sarawak mengendalikan syarikat penerbangan sendiri.
Pada 23 November tahun lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil dilaporkan berkata, kerajaan negeri Sarawak sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASwings sebagai persediaan mengambil alih syarikat penerbangan berkenaan. – UTUSAN