Op Hari Raya: 42 bas ekspres dilarang berada di jalan raya - Utusan Malaysia

Op Hari Raya: 42 bas ekspres dilarang berada di jalan raya

Motosikal
LOKMAN Jamaan ditemui pemberita pada Op Patuh Khas Fasa 2 Kenderaan Komersial di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR :Sebanyak 42 bas ekspres tidak dibenarkan berada di jalan raya selepas didapati tidak mencapai standard keselamatan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesemua bas itu daripada pemeriksaan dilakukan pihaknya terhadap 3,799 bas di 54 depoh dan 28 terminal bas seluruh negara dalam Op Hari Raya Aidilfitri (HRA).

“Dalam operasi sejak 1 April lalu, sebanyak 77 bas diambil tindakan termasuk 47 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan membabitkan kesalahan tiada lesen vokasional (PSV) dan lesen memandu kompeten (CDL), kesalahan tatakelakuan dan sebagainya.

“Sebanyak 42 bas dikeluarkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) berikutan pelanggaran peraturan teknikal yang ditetapkan,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang akbar selepas melakukan pemeriksaan bas sempena Op HRA 2024 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, operasi dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 244 pemandu bas dan enam daripadanya didapati positif dadah termasuk seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun.

Beliau berkata, mereka yang ditahan itu masing-masing dua di Sarawak dan Kedah manakala masing-masing seorang di Kelantan serta Perak.

“JPJ akan memanggil syarikat pengendali bas dan laporan siasatan lengkap akan dikemukakan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) untuk tindakan mengikut Akta
Pengangkutan Awam Darat 2020 (Akta 715).

“JPJ juga akan menggantung lesen pemandu terbabit mengikut Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selepas pengesahan lanjut diperoleh daripada AADK,” katanya.

Tambah Lokman, JPJ turut melaksanakan 84 penyamaran terhadap pergerakan bas di seluruh negara bagi mengesan kelakukan pemandu sewaktu perjalanan.

“Daripada penyamaran dilakukan, 62 kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki pemandu kedua termasuk menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya