Nikmati Aidilfitri dalam suasana kampung di inap desa Kebun Harumanis Wan Pa - Utusan Malaysia

Nikmati Aidilfitri dalam suasana kampung di inap desa Kebun Harumanis Wan Pa

INAP desa berlatarkan sawah dan bukit-bukau di ne­geri ini menjadi pilihan khususnya orang bandar yang ingin merasai pengalaman meraikan Aidilfitri dalam suasana kampung di Inap Desa Kebun Harumanis Wan Pa, Wang Ulu, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Inap desa berlatarkan sawah dan bukit-bukau di ne­geri ini menjadi pilihan khususnya orang bandar yang ingin merasai pengalaman meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana kampung.

Antaranya Inap Desa Kebun Harumanis Wan Pa di sini apabila tempahan penuh dari petang raya sehingga semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik inap desa berkenaan, Nurul Azlie Adzame, 42, berkata, terdapat dalam kalangan pelanggan yang membawa seluruh keluarga khususnya dari Kuala Lumpur yang memilih menginap di sini semata-mata bagi merasai sendiri suasana beraya di kampung.

Katanya, selain itu, ada pelanggan orang luar negeri ini yang pulang untuk beraya dan menginginkan keselesaan buat ahli keluarga dengan memilih menginap di inap desa.

“Ada dalam kalangan pelanggan ini ada membuat tempahan tiga bulan lebih awal untuk tidak melepaskan peluang beraya di negeri ini dalam suasana kampung dengan memilih inap desa ini.

“Kebanyakkan orang bandar memilih untuk merasai suasana kampung dan di sini sememangnya kita akan menikmati suasana kampung selain keindahan bukit-bukau dan sawah menghijau,” katanya.

Tambah Nurul Azlie, rata-rata pengunjung membuat tempahan awal bagi membolehkan mereka bercuti selain menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

“Mungkin pagi raya mereka pergi beraya di rumah keluarga dan kemudian pulang bermalam di inap desa. Cara ini mereka pun boleh menjaga aurat antara saudara mara,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Azlie berkata, dia bersama kakitangan membuat persiapan menyambut kehadiran pengunjung.

Selain itu, katanya, bersempena mu­sim mempelam harumanis, pihaknya menawarkan percuma satu kilogram buah berkenaan kepada pelanggan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN