KUALA LUMPUR: MCA bersedia untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang akan diadakan pada 11 Mei ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi MCA Selangor, Datuk Ir Lawrence Low berkata, bagaimanapun pihaknya dalam proses penelitian untuk mengenal pasti beberapa individu yang layak diangkat menjadi calon di kawasan berkenaan.
“Pemilihan calon untuk menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan bukan menjadi masalah kami namun semuanya masih di peringkat perbincangan ” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak akan menuntut kerusi PRK Kuala Kubu Bharu, malah turut menyeru rakan komponennya termasuk MCA dan Friends of BN untuk menyokong calon yangg ditetapkan oleh Perdana Menteri.
Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching turut mengesahkan bahawa DAP sudah memiliki beberapa nama untuk diketengahkan sebagai calon Pakatan Harapan dan akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti itu.
Mengulas lanjut, Lawrence berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din mengenai usul itu.
“Perbincangan ini adalah untuk mencapai kata sepakat di peringkat negeri sebelum mengusulkan kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti.
“Selebihnya adalah bergantung kepada keputusan pusat untuk memutuskan sama ada MCA layak bertanding atau tidak.
Kuala Kubu Bharu pernah menjadi kubu kuat MCA bagaimanapun kemenangan terakhir MCA di kerusi itu adalah pada 16 tahun lalu, iaitu pada pilihan raya 2008. – UTUSAN