Malaysia kutuk serangan ketika rakyat Palestin sambut Aidilfitri

Malaysia kutuk serangan Israel ketika rakyat Palestin sambut Aidilfitri

Penduduk Palestin melarikan diri daripada gas pemedih mata yang dilepaskan oleh zionis Israel di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk serangan berterusan Israel terhadap penduduk Palestin termasuk serangan udara di kem pelarian di utara Gaza semasa mereka merayakan Aidilfitri.

Kementerian Luar berkata, tindakan kejam Israel jelas menunjukkan kebencian dan bertentangan dengan simbol sambutan perayaan iaitu prinsip kemanusiaan, keamanan dan belas kasihan.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia tetap teguh dalam usaha mencapai penyelesaian damai kepada konflik yang berpanjangan, sekali gus mempertahan prinsip yang rakyat Palestin layak mencapai kemerdekaan dan kedaulatan dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.

Katanya, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Antarabangsa Keadilan (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) harus bertanggungjawab, manakala PBB mesti mempertimbang penubuhan tribunal jenayah antarabangsa untuk mendakwa Israel di atas keganasan yang dilakukan.

“Malaysia akan terus menentang dengan teguh tindakan keganasan dan genosid oleh Israel terhadap rakyat Palestin. Serangan ini juga tentu menjejaskan rundingan gencatan senjata dan usaha mencari penyelesaian.

“Komuniti antarabangsa tidak boleh lagi berdiam diri dan membiarkan kekejaman ini berterusan kerana lebih banyak nyawa tidak berdosa akan terkorban.

“Masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan tegas menghentikan kekejaman serta memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan ini,” katanya.

Semalam, agensi berita antarabangsa melaporkan, lebih 60,000 rakyat Palestin menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, namun tiada suasana perayaan, sebaliknya meratapi mangsa perang berterusan Israel di Semenanjung Gaza selama lebih enam bulan.

Menurut Anadolu, kontinjen besar pegawai polis Israel dikerah di pintu masuk, persekitaran dan lorong-lorong bandar.

Israel bagaimanapun menyekat akses umat Islam Palestin ke Masjid Al-Aqsa di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di seluruh Tebing Barat yang diduduki, akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.

Masjid Al-Aqsa adalah tempat ketiga paling suci di dunia bagi umat Islam.

Orang Yahudi memanggil kawasan itu sebagai ‘Temple Mount’, mendakwa ia adalah tapak dua kuil Yahudi pada zaman dahulu.

Israel menduduki Baitulmaqaddis Timur, kawasan terletaknya Al-Aqsa, ketika Perang Arab-Israel 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN