Lima bulan hilang, keluarga rindu beraya bersama Ustaz Hafiz - Utusan Malaysia

Lima bulan hilang, keluarga rindu beraya bersama Ustaz Hafiz

MOHD HAFIZ JASMI yang hilang lima bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: “Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan kini hanya berharap jika dia masih hidup, suatu hari nanti abang akan pulang ke pangkuan keluarga.”

Demikian keluhan Mohamad Naquib Jasmi berhubung status kehilangan abangnya, Mohd. Hafiz, 38, guru pendidikan Islam sebuah sekolah rendah di sini.

Menurutnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini juga pasti tidak begitu meriah kerana mereka kehilangan orang tersayang yang sebelum ini sering bersama keluarga.

“Sehingga kini masih tiada khabar berita, sudah lima bulan misteri kehilangan abang masih belum mempunyai jawapannya. Kehilangannya amat terasa tambahan pula umat Islam akan menyambut hari raya beberapa hari sahaja lagi.

“Kebiasaan apabila malam raya kami akan berkumpul beramai-ramai dan makan ketupat dengan rendang yang dimasak ibu, abang pun amat menyukai ketupat ibu,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Pada 8 November lalu, Mohd. Hafiz dilaporkan hilang di kawasan peranginan Sungai Sedim dengan kereta Proton Saga dinaikinya diletakkan di situ.

Bagaimanapun, seorang saksi di tempat kejadian menyatakan lelaki tersebut yang juga dikenali sebagai Ustaz Hafiz dipercayai sudah meninggalkan kawasan berkenaan pada hari dia dilaporkan hilang.

Kata Mohamad Naquib, ibu mereka, Zaiton Othman, 64, sudah boleh menerima hakikat namun masih menaruh harapan untuk bertemu anaknya itu.

“Paling ibu tidak boleh lupa ketika Ramadan sewaktu pandemik Covid-19 dulu kerana abang yang menjadi imam solat Terawih dan solat sunat Aidilfitri di rumah.

“Jadi, walaupun sudah reda kami terus berharap sekiranya orang ramai mengetahui di mana abang saya berada agar dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN