LIMA 2025 perluas profil pempamer, pemain industri

LIMA 2025 perluas profil pempamer, pemain industri pertahanan

Sabri Adam (tiga dari kanan) mempelawa Adly Zahari (tengah) diiringi Isham Ishak (empat dari kanan), Mohammad Ab Rahman (empat dari kiri) menyempurnakan majlis pelancaran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) kembali lagi pada tahun depan dengan memperluaskan jumlah profil pempamer, pelawat perdagangan dan delegasi dalam bidang pertahanan, komersial, keselamatan dan aplikasi sivil.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari ketika melancarkan LIMA 2025 di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, semalam, berkata, pameran itu akan berlangsung dari 20 Mei hingga 24 Mei tahun depan.

Menurutnya, LIMA 2025 telah mendapat sambutan awal yang menggalakkan daripada para pemain industri pertahanan dari dalam dan luar negara.

“LIMA 2025 juga akan mengetengahkan beberapa segmen baharu seperti pembabitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pameran ini, serta penambahan ruang pameran dan teknologi hijau,” katanya.

Beliau berkata, LIMA akan terus mengetengahkan kepentingan pemain-pemain industri untuk sentiasa berinovasi dan meningkatkan daya saing seiring dengan perkembangan teknologi yang kian pesat.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.

Dengan tema ‘Pembaharuan Sekarang, Kejayaan Masa Hadapan’, LIMA edisi ke-17 itu merangkumi mesej jelas yang menyerlahkan kepentingan peranan inovasi dalam menjamin masa depan negara.

Selaras dengan tema tersebut, LIMA 2025 merancang untuk memfokus dan meningkatkan segmen melibatkan Pertahanan, Komersial, Angkasa, Pelayaran Komersial, Inovasi, Kelestarian dan Pendidikan.

Pameran itu dianjurkan bersama Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dengan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC).

Dalam memastikan kejayaan penganjuran LIMA 2025, GEC juga menjalinkan kolaborasi strategik bersama Arabian World Events, QUBE Integrated Malaysia Sdn Bhd, SHP Media Sdn Bhd, Curio Pack Sdn Bhd, Malaysian Aerospace Industry Association (MAIA) dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MiGHT).

Sementara itu, Pengerusi GEC, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Sabri Adam berkata, pihaknya akan memperluaskan profil pempamer dan pemain dalam industri pertahanan terlibat.

“Matlamat kami adalah bagi menambah nilai kepada pameran dan menarik syarikat baharu dalam pasaran yang melibatkan diri mereka dalam teknologi dan pembangunan untuk masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berharap Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain akan mengikuti acara dan produk terkini dalam mengukur dan menaik taraf strategi operasi pertahanan sedia ada.

LIMA 2025 juga akan memperkenalkan program baharu yang akan menambah baik acara berprestij peringkat kebangsaan.

Program tersebut adalah LIMA Run iaitu penganjuran acara larian di Kuala Lumpur tahun ini dan Langkawi awal tahun depan sebagai sebahagian daripada siri inisiatif di bawah LIMA.

Sebagai langkah mempromosikan kesedaran eko serta Alam sekitar, Sosial dan Tadbir urus (ESG), GEC akan mengadakan aktiviti LIMA Green yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang ESG dalam kalangan pengamal industri, dengan tumpuan pada kemampanan.

Selain itu, LIMA TV akan menjadi ciri kekal bermula LIMA 2025 yang bertindak untuk menyiarkan siaran langsung LIMA 2025 di pelbagai platform media sosial dan skrin dewan sepanjang lima hari berlangsung.

LIMA Galeri juga akan dibina sebagai permulaan mempamerkan sejarah LIMA sejak penubuhannya yang diharap akan berkembang menjadi muzium LIMA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN