PORT DICKSON: Pihak Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini melakukan persiapan awal bagi memastikan proses cerapan anak bulan Syawal yang diadakan esok berjalan dengan baik.
Ketua Kompleks Baitul Hilal MAINS, Siti Sarah Nordin berkata, persiapan awal itu termasuklah membabitkan persediaan alatan yang digunakan iaitu tiga teleskop dan satu kamera astronomi.
“Tiga teleskop dan satu kamera astronomi perlu berada dalam keadaan baik sebelum cerapan rasmi melihat anak bulan Syawal dilakukan.
“Alat berkenaan perlu dipasang di kubah matahari di aras tiga kompleks ini sehari sebelum cerapan rasmi dibuat. Di aras bawah pula membabitkan cerapan awam kebiasaannya pada hari kejadian barulah dipasang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ujar Siti Sarah lagi, selain persediaan alatan tersebut, pihak Jabatan Mufti Negeri Sembilan juga meneruskan tradisi majlis zikir dan doa selamat sehari sebelum cerapan dibuat dengan kerjasama MAINS serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Sembilan.
“Bagi aras satu pula yang menempatkan pihak Jabatan Mufti Negeri Sembilan diketuai Mufti sendiri sebagai jawatankuasa melihat anak bulan atau rukyah, kebiasaannya alat dibawa serta dipasang oleh agensi terlibat,” katanya.
Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang esok, 9 April 2024 bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijrah dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam berkenaan.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
Sebanyak 29 lokasi di seluruh negara juga diperkenankan sebagai lokasi melihat anak bulan Syawal.-UTUSAN.