KUALA LUMPUR: Lelaki Israel, Avitan Shalom mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan pemilikan senjata api.
Mengikut pertuduhan, Avitan didakwa memiliki enam pucuk pistol dan 158 butir peluru di antara pukul 6.46 petang, 26 Mac lalu dan 6 petang 28 Mac lalu, di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Seksyen 7(1) memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebatan minimum enam sebatan.
Seksyen 8(a) memperuntukan penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.
Pertuduhan dilakukan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa P. Kunyalam.
Aviton dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menaiki ‘black maria’ dan dikawal ketat oleh anggota polis yang memakai baklava dan lengkap bersenjata.
Turut hadir beberapa minit sebelum itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.
Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel ditahan bersama enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger bersama 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.
LELAKI warga Israel, Aviton Shalom dikawal rapi ketika dibawa untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada 8 April lalu, suri rumah, Sharifah Faraha Syed Husin dan suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada 8 April lalu berhubung pemilikan pistol 9mm CZ 75.
Mereka sebelum ini ditahan sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada 29 Mac lalu kerana disyaki menjual enam senjata api kepada lelaki Israel itu. – UTUSAN