KUALA LUMPUR: Lelaki warga Israel, Shalom Avitan, 38, yang ditahan bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di sini 27 Mac lepas, dijangka dituduh di mahkamah Jumaat ini.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan akan dibuat pada minggu ini di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Ya, dia akan dituduh selepas raya, mungkin Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang didakwa membekalkan senjata api kepada seorang warga Israel bulan lepas didakwa di Mahkamah Sesyen Klang awal hari ini berhubung pemilikan pistol 9mm CZ 75.
Sharifah Faraha Syed Husin, yang berumur 41 tahun hari ini, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPAA) kerana didakwa memiliki pistol itu.
Sementara itu, suaminya,Abdul Azim Mohd.Yasin, 43, didakwa mengikut Seksyen 9 akta sama kerana bersubahat dengan Faraha apabila dia didakwa mengetahui pistol itu dalam pemilikannya.
Menurut dokumen mahkamah, pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8 malam pada 29 Mac lalu di sebuah premis di Kampung Bukit Belimbing di Kuala Selangor.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan, menurut seorang pegawai kerajaan yang mengendalikan kes itu hari ini.- UTUSAN