BATU GAJAH: Sepasang suami isteri tidak kisah melayan kerenah pelanggan yang datang ke kedai untuk membeli santan dan kerisik pada tengah malam sepanjang Ramadan serta menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Nurul Azida Saidattul Akhmar, 30, dan Norsalehudin Jamaludin, 36, tetap bersabar kerana itu merupakan punca rezeki utama mereka selain tidak ingin menghampakan pembeli yang majoritinya merupakan pelanggan tetap.
Nurul Azida berkata, secara kebetulan terdapat adik suaminya (Norsalehudin) yang menjual burger pada waktu malam berdekatan premis perniagaannya.
“Kita layankan sahaja kerana mereka sudah biasa membeli, lagipun adik ipar menjual burger pada waktu malam berdekatan rumah, jadi kita memenuhi tuntutan mereka sebaiknya.
“Santan segar yang siap diproses saya akan masukkan ke dalam bekas diisi ais supaya tahan lama. Bagi krisik pula kita jual berdasarkan kuantiti yang pelanggan mahu,” katanya di temui di premis perniagaannya di Kampung Air Papan, Tanjung Tualang di sini. – UTUSAN