PETALING JAYA: Selepas bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disabitkan bersalah oleh mahkamah bagi empat pertuduhan pecah amanah, parti itu kini berdepan krisis menyaksikan seorang demi seorang pemimpinnya keluar parti.
Terbaharu, Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya merangkap Biro Strategik MUDA, Warence Mudin mengumumkan keluar parti, semalam.
Mengumumkan perkara itu dalam media sosialnya, bekas Setiausaha Muda Sabah itu berkata, dia bukan lagi ahli parti dan sudah meletakkan jawatan, manakala keputusan itu dibuat atas kemahuannya sendiri.
“Saya mahu beritahu tiada yang negatif antara hubungan saya dengan mana-mana ahli parti yang membawa kepada keputusan saya ini.
“Kita semua adalah dari karakter dan latar belakang yang berbeza mencuba untuk bekerja bersama, namun, hubungan persahabatan melangkaui politik.
“Muda semakin maju ke jalan yang benar, membina, mengajar, berkhidmat dan menyumbang yang dilakukan oleh ahli Muda yang melebihi jangkaan sesiapa,” katanya semalam.
Pada Oktober 2023, Pengerusi Muda Sabah, Amos Thien Tze Tin meletakkan jawatannya, namun kekal sebagai ahli Muda sebelum mengambil beberapa tempoh yang lama untuk menyertai DAP.
Pada 2 April lalu, Muda memberitahu, keahlian Amos secara automatik gugur selepas beliau menyertai parti itu, baru-baru ini.
Jawatan Pengerusi Muda Sabah kini dipangku oleh Timbalan Pengerusi, Faezrah Rizalman sejak November 2023 sehingga pemilihan parti yang akan datang.