Kompaun sehingga RM300 di Melaka jika buang sampah daripada kenderaan

Kompaun sehingga RM300 di Melaka jika buang sampah daripada kenderaan

RAIS Yasin menyampaikan duit raya dan bakul makanan sumbangan Aidilfitri kepada 150 penerima di DUN Paya Rumput di Tanjung Minyak, Melaka. - UTUSAN /AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melancarkan Op Tangan Sampah bagi mengesan pelancong atau individu pulang berhari raya di negeri ini yang membuang sampah daripada kenderaan.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, individu yang dikesan melakukan kesalahan itu akan dikenakan kompaun antara RM250 hingga RM300.

Menurutnya, arahan mengeluarkan kompaun adalah di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Langkah ini kita laksanakan sebagai menyahut saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mengarahkan semua PBT di bawah kementeriannya mengeluarkan kompaun terhadap individu yang membuang sampah keluar daripada kenderaan serta-merta.

“Tindakan tegas perlu kita ambil segera bagi memastikan negeri ini bersih sebab kita telah memenangi pelbagai anugerah sebagai PBT terbersih.

“Kompaun yang dikenakan bukan sahaja terpakai kepada individu yang membuang sampah keluar daripada kenderaan tetapi juga yang buang sampah merata-rata tempat di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 150 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Tanjung Minyak di sini, hari ini.

Arahan itu dikeluarkan susulan gambar tular menunjukkan longgokan sampah bertaburan di tepi Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang bermula dari Bentong ke Lipis, Pahang dan Gua Musang, Kelantan.

Tambah Rais, anggota penguat kuasa akan menjalankan tugas sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri manakala orang ramai boleh menjadi mata dan telinga jika mereka melihat individu yang berbuat demikian.

“Mereka boleh menyalurkan maklumat dengan mengambil gambar dan seterusnya menyalurkan maklumat kesalahan melalui platform media sosial milik semua empat PBT di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN