PASIR PUTEH: Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan berjumlah RM84.3 juta untuk kerja-kerja membaiki jalan raya yang rosak di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr. Izani Husin berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM76.9 diperuntukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan rutin, penyelenggaraan berkala pavement dan bukan pavement, pembaikan kecil jambatan serta kerja kecemasan dibawah kendalian Roadcare (M) Sdn. Berhad.
“Baki selebihnya iaitu RM6.3 juta untuk kerja-kerja membaik pulih blackspot, lintasan jalan kaki dan penyenggaraan jambatan bailey.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan ini. Alhamdulillah kita sudah menerimanya (peruntukan) pada pertengahan Mac lalu dan telah dimanfaatkan menerusi kerja-kerja pembaikan 16 jalan peringkat awal seluruh negeri,” katanya pemberita selepas mengadakan lawatan ke lokasi pembaikan jalan di lalaun Kuala Terengganu-Kota Bharu di Bukit Yong di sini hari ini.
Dr. Izani memberitahu, keseluruhan kerja-kerja membaiki jalan itu melibatkan 30 jajaran di seluruh negeri.
Katanya, setakat ini projek yang dilaksanakan melibatkan jalan utama bertujuan memberikan keselesaan kepada pengguna yang pulang ke kampung halaman.
“Beberapa jalan raya yang rosak teruk terutama di Bukit Yong, di sini yang terlibat dengan lori batu kuari juga akan dibaik pulih selepas musim perayaan ini.
“Bagaimanapun, pembaikian jalan terpaksa dihentikan seketika untuk mengelak kesesakan lalu lintas apabila perantau pulang berhari raya mulai hari ini,” ujarnya.
Dr. Izani berkata, Tanah Merah, Pasir Mas, Kuala Krai, Pasir Puteh, Kota Bharu, Jeli, Tumpat dan Machang antara jajahan yang menerima manfaat tersebut.-UTUSAN