Kelantan akui tidak mampu urus bekalan air sepanjang Aidilfitri

Kelantan akui tidak mampu urus bekalan air sepanjang Aidilfitri

DR. Izani Husin (berdiri, dua dari kanan) sempat meluang masa melihat kerja-kerja penyediaan juadah pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pas Kawasan Pengkalan Chepa di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengakui tidak mampu memenuhi semua keperluan bekalan air bersih di negeri berikutan peningkatan penggunaan mendadak susulan perantau mula balik kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr. Izani Husin bagaimanapun berkata, pihaknya menerusi Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) sudah menghantar lori-lori tangki ke tempat-tempat yang mengalami gangguan bekalan air dengan harapan dapat meredakan situasi.

Menurutnya, lebih kurang 39 lori tangki digerakkan di samping 396 unit tangki statik disediakan pada peringkat permulaan langkah berkenaan diambil, iaitu sejak seminggu sebelum tibanya hari lebaran.

“Semalam pun kita masih menggerakkan lori-lori tangki tanpa mengira masa, sehingga tidak terkira berapa kali penghantaran dan sebanyak mana kuantiti air bersih sudah diagihkan. Ada sahaja aduan kita hantar.

“Diharap walaupun langkah ini mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah secara menyeluruh tetapi sekurang-kurangnya dapat melegakan rakyat terlibat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pas Kawasan Pengkalan Chepa di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Dr. Izani.memberitahu, paras air sungai di kawasan Loji Rawatan Air (LRA) terlalu rendah turut mempengaruhi bekalan ketika ini.

“Tiada apa-apa yang dapat kita lakukan dalam situasi disebabkan musim kemarau ini. Bagaimanapun kita telah buat pelbagai penambahbaikan termasuk melancarkan pembinaan LRA baharu di Gua Musang tetapi pastinya akan memakan masa untuk disiapkan.

“Sehingga kini kita ada 42 LRA di seluruh Kelantan. Banyak yang belum siap dan dalam pembinaan dengan jangkaan siap sepenuhnya pada tahun 2028. Terdapat tiga pihak terlibat dalam pembinaan LRA iaitu AKSB, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, selain air rakyat negeri ini turut berdepan dengan masalah gangguan belakan elektrik.

“Bekalan air dan elektrik menghadapi gangguan kerana penggunaan kedua-dua keperluan itu mencecah tahap maksimum sejak perantau mula balik kampung untuk berhari raya bersama keluarga masing-masing.

“Situasi itu menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa panggil petugas luar untuk membantu. Begitu juga AKSB yang mana jika kita tidak hantar lori-lori tangki situasi akan lebih teruk. Namun saya akui kita tidak mampu penuhi semua keperluan dan saya mohon maaf bagi pihak AKSB dan kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN