KOTA BHARU: Bahang kemeriahan Aidilfitri semakin dirasai apabila orang ramai menyerbu kedai menjual rempah ratus di Pasar Siti Khadijah di sini untuk membuat persiapan menyambut lebaran.
Tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati peniaga rempah tidak menang tangan untuk membungkusnya seawal pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari tadi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga rempah, Mohd. Firdaus Sultan Kabeer, 32, berkata, untuk hari ini dia menyediakan antara 1,000 hingga 1,200 kilogram (kg) pelbagai jenis rempah untuk dijual kepada pelanggan.
“Sehingga pukul 1 petang, lebih 500 kg rempah untuk tiga jenis sudah terjual. Tiga rempah itu ialah kuzi, rendam dan gulai ayam.
“Rempah itu saya jual bermula 100 gram dengan harga antara RM2.50 hingga RM5 bergantung kepada jenis,” katanya ketika ditemui di hari ini.
Mohd. Firdaus memberitahu, hari biasa dia hanya menjual sekitar 600 kg sahaja kepada pelanggan.
Sementera itu, seorang pelanggan, Wan Hamizah Wan Abdullah, 61, berkata setiap tahun dia akan datang ke sini untuk membeli tiga jenis rempah untuk dimasak bersama ayam bagi hidangan menyambut Aidilfitri
Katanya, selain itu dia turut membeli rempah tersebut untuk dibawa pulang ke Perak.
“Rempah yang dijual di kedai ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Paling menarik, peniaganya tidak lokek memberikan resepi untuk memasak dengan menggunakan rempah yang dijual itu,” ujarnya.-UTUSAN