KOTA BHARU: Golongan wanita di negeri ini tetap membeli emas untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri meskipun harga emas kini melebihi RM350 segram.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai di Pasar Siti Khadijah di sini, mendapati orang ramai terus ‘menyerbu’ kedai emas untuk belian baharu atau membuat penggantian.
Seorang peniaga Rozleen Yusof, 52, berkata, barang kemas jenis Itali, koko king, dubai dan koko kendi serta rolex antara yang menjadi pilihan wanita untuk raya tahun ini.
“Kebanyakan pelanggan membuat belian itu untuk tampil lebih yakin pada 1 Syawal.
“Ada yang datang ke kedai untuk menukarkan barang kemas lama mengikut berat dengan reka bentuk baharu,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Seorang lagi peniaga, Faisal Yusof, 21, berkata, dia menjual barang kemas mengikut kemampuan pembeli.
Katanya, sejak kepulangan perantau perniagaan emas di premisnya bertambah rancak sekali gus memberikan rezeki yang lebih buatnya.
Sementara itu, seorang pelanggan yang hanya dikenali La, 40, berkata, dia mengambil keputusan untuk menukar rantai lehernya kepada yang baharu.
Katanya, keputusan itu dibuat memadangkan harga emas ketika ini agak tinggi sekali gus memberikan sedikit keuntungan buatnya. – UTUSAN