Keadaan udara, air sekitar kawasan Pusat Kualiti Alam dipantau - Utusan Malaysia

Keadaan udara, air sekitar kawasan Pusat Kualiti Alam dipantau

PASUKAN bomba memadamkan kebakaran kilang di Cenviro Sdn. Bhd. (Pusat Kualiti Alam), Ladang Tanah Merah, Bukit Pelanduk, Port Dickson petang semalam-GAMBAR/IHSAN BOMBA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keadaan udara dan air di kawasan sekitar Pusat Kualiti Alam di sini akan dipantau susulan kejadian kebakaran kilang Cenviro Sdn. Bhd. (Cenviro) berkeluasan kawasan 6,500 meter persegi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, pihaknya juga kini sedang menunggu laporan terperinci termasuk dari pihak Jabatan Alam Sekitar berkaitan kejadian berkenaan.

“Pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri juga mengambil tanggungjawab untuk menangani kejadian tersebut dengan cekap dan berkesan.

“Semoga kejadian ini dapat diatasi dengan segera dan langkah-langkah pencegahan yang diperlukan dapat diambil untuk mengelakkan berulangnya kebakaran yang sama pada masa hadapan.

“Kami masih menunggu laporan terperinci daripada Kualiti Alam dan juga Jabatan Alam Sekitar. Pada masa yang sama pihak Kualiti Alam memantau keadaan udara dan air dipersekitaran kawasan itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam media melaporkan tempat logistik (Side A) simpanan sisa bahan kimia berjadual di Cenviro Sdn. Bhd. (Kualiti Alam), Ladang Tanah Merah, A3 Division, Bukit Pelanduk, Port Dickson musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku petang semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, panggilan kecemasan telah diterima pada pukul 5:58 petang melibatkan keluasan kawasan 6,500 meter persegi di Shed A.

Pusat Gerakan Operasi telah menggerakan empat buah balai terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, BBP Seremban, BBP Port Dickson dan BBP Rantau untuk ke lokasi dengan kekuatan seramai 66 orang pegawai.

Operasi pemadaman dibuat secara defensif dan terkawal pada pukul 8:20 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan dan tiada mangsa yang terlibat.

Sementara itu, pihak Cenviro menerusi kenyataan memaklumkan kejadian kebakaran di Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam yang tercetus pada pukul 5.40 petang semalam telah terkawal dan meminta orang ramai khususnya penduduk sekitar tidak panik dan mengelak daripada menyebarkan maklumat palsu di media sosial mengenai kejadian itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN