KOTA BHARU: Pas melihat umat Islam di negara ini yang menunjukkan pelbagai reaksi berkait isu penghinaan kalimah Allah tidak wajar dipersalahkan termasuk melancarkan kempen boikot.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hak tersebut tidak boleh dinafikan kerana isu tersebut menyentuh sensitiviti individu dari segi akidah, kepercayaan dan ketuhanan.
Menurutnya, semua pihak harus sedar bahawa isu penghinaan kalimah Allah adalah sangat sensitif di negara ini lebih-lebih lagi terhadap Islam itu sendiri yang merupakan agama Persekutuan.
“Kita harap perkara sebegini tidak berterusan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung perkara sebegini daripada terus berlaku.
“Dalam undang-undang kita pun ada peruntukan yang boleh dikenakan kepada mereka yang menimbulkan isu-isu sebegini secara langsung atau tidak langsung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat istisqa’ di Padang Perdana, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu memberitahu, kesalahan menimbulkan kegusaran kepada rakyat, ketidak harmonian dan sebagainya terkandung dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) dan juga Akta Hasutan 1948 yang diakui boleh digunakan bagi meredakan keadaan walaupun tidak dipersetujui sepenuhnya.
“Salah satu seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan yang dibatalkan dalam kes Nik Elin baru-baru ini juga ada peruntukan bagi kesalahan menghina agama dengan cara memusnahkan tempat-tempat ibadat.
“Satu sub-seksyen untuk orang Islam dan satu sub-seksyen untuk bukan Islam. Malahan dalam al-Quran sendiri terdapat larangan bagi orang Islam daripada menghina tuhan penganut agama lain kerana ia akan menyebabkan Tuhan bagi umat Islam dihina,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) berkata, pihaknya sedang menunggu persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perkara-perkara yang dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkait peruntukan untuk ahli Parlimen Pembangkang. –UTUSAN