KUALA SELANGOR: Permintaan dan jualan pelita tradisional atau panjut di daerah ini merosot ketara pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Keadaan itu berlaku didakwa berikutan kepelbagaian pilihan pelita moden di pasaran selain kurang kuasa membeli oleh pelanggan.
Pengusaha panjut, Mohamad Nor Airee Ibrahim, 33, berkata, permintaan bagi pelita itu masih ada, namun tidak setinggi seperti beberapa tahun lalu.
Menurutnya yang juga pembuat kraftangan, panjut buluh betung buatannya hanya menerima tempahan 400 batang berbanding 10,000 sebelum ini.
“Saya mula membuka tempahan sebelum Ramadan, namun jumlahnya amat kurang sehingga kini.
“Selain pelbagai pilihan pelita lain, ia mungkin faktor kurang kuasa membeli kerana pelanggan sudah membelanjakan wang bagi pembukaan sesi baharu persekolahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, panjut didapati lebih lasak dan tahan lama berbanding pelita lain.
“Sepanjang membuat panjut sejak berusia 17 tahun, saya menggunakan buluh betung asli yang boleh digunakan selama beberapa tahun dijual antara RM10 hingga RM80,” ujarnya. – UTUSAN