JPJ Negeri Sembilan sita 56 kenderaan dipandu warga asing tanpa lesen - Utusan Malaysia

JPJ Negeri Sembilan sita 56 kenderaan dipandu warga asing tanpa lesen

HANIF Yusabra Yusuf (dua dari kanan) ketika melancarkan Op Khas HRA 2024 JPJ Negeri Sembilan di Pejabat JPJ Negeri Sembilan, Jalan Seremban-Tampin, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 56 buah kenderaan dengan kebanyakannya merupakan kenderaan perdagangan iaitu lori kecil telah disita pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan selepas ia didapati dipandu oleh pemandu warga asing tanpa lesen memandu

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kesemua kenderaan tersebut disita hasil penguatkuasaan Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 yang telah dilaksanakan bermula 1 April lalu.

“Menerusi penguatkuasaan ini, JPJ Negeri Sembilan telah mengambil tindakan menyita 56 buah kenderaan yang dipandu oleh pemandu warga asing dengan melibatkan 96 kesalahan.

“Kenderaan-kenderaan ini disita kerana pemandu warga asing ini memandu tanpa lesen memandu dan juga Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dan tiada insurans. Pemilik kenderaan juga diambil tindakan atas kesalahan membenarkan memandu bagi kesalahan tersebut.

“Selain lori kecil, sebahagian daripada mereka juga menunggang motosikal yang diguna pakai untuk tujuan perniagaan seperti menjual ais krim dan roti. Kebanyakan kenderaan ini dimiliki oleh rakyat tempatan dan disewakan kepada warga asing ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pelancaran Op Khas HRA 2024 JPJ Negeri Sembilan di Pejabat JPJ Negeri Sembilan, Jalan Seremban-Tampin, di sini hari ini.

Menurut Hanif Yusabra lagi, kebanyakan warga asing yang diambil tindakan ini adalah dari negara Pakistan iaitu seramai 26 orang diikuti warganegara Bangladesh seramai 12 orang.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam operasi berkenaan juga, sebanyak 53 saman telah dikenakan kepada pemandu-pemandu bas yang didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Katanya, ia hasil tindakan menempatkan pegawai-pegawai JPJ yang menyamar sebagai penumpang bas di 20 buah bas termasuk bas ekspres dengan kebanyakannya menuju ke destinasi utara.

“Daripada 53 saman yang telah dikeluarkan, 17 daripadanya atas kesalahan tiada pemandu kedua dan sembilan lagi kesalahan iaitu memandu di lorong kanan secara berterusan selain lapan kesalahan mengambil dan menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan,” ujarnya lagi.

Menurut Hanif Yusabra lagi, sepanjang penguatkuasaan Op Khas HRA 2024 sehingga semalam, sebanyak 8,365 kenderaan telah diperiksa di negeri ini dan sejumlah 1,467 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Sepanjang tempoh ini juga, sebanyak 4,388 buah motosikal telah diperiksa dengan 685 buah telah diambil tindakan. Sebanyak 1,703 saman telah dikeluarkan dan 102 buah daripadanya telah disita,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN