ARAU: Kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri di negeri ini semakin dirasai dengan para perantau sudah mula pulang bagi meraikan lebaran bersama ahli keluarga tersayang.
Kebanyakan perantau sudah mula tiba di negeri ini sejak Sabtu lalu dan dijangka kemasukan ke negeri ini bertambah menjelang sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Jalan raya utama di negeri ini yang lazimnya tenang juga mulai sesak dengan kenderaan iaitu fenomena yang dapat disaksikan setahun sekali.
Selain itu, bazar-bazar Aidilfitri yang sebelum ini suram juga mula meriah dan padat dengan orang ramai yang mengambil kesempatan membeli kelengkapan raya pada saat akhir.
Perkembangan tersebut sekali gus memberi sedikit sinar kepada para peniaga yang sebelum ini merungut jualan perlahan.
Tinjauan Utusan Malaysia di pasar-pasar pagi sjuga mendapati orang ramai mula penuh sesak sejak awal pagi bagi membeli keperluan menyediakan juadah raya.
Seorang perantau, Zaim Hashim, 38, berkata, dia tiba dari Kuala Lumpur semalam bagi meraikan 1 Syawal bersama ayah dan ibu di sini.
Katanya, dia bersama isteri akan menghabiskan cuti seminggu sempena hari raya ini dan kini mereka sedang sibuk melakukan persiapan akhir dalam menyambut lebaran.
“Setiap tahun sememangnya saya akan balik beraya di Perlis dengan kampung halaman isteri juga di kawasan berdekatan, jadi tidak timbul soal bergilir-gilir pulang beraya.
“Sejak semalam Perlis mula meriah apabila perantau-perantau sudah mula pulang ke hampung halaman,” katanya. – UTUSAN