IPOH: Setelah berjaya sebagai seorang usahawan perkhidmatan servis kenderaan, Ismail Ahmad kini mahu berbakti semula kepada masyarakat dengan memberi peluang terhadap mereka yang ingin terlibat dalam bidang tersebut.
Beliau kini memiliki bengkel IS Tayar Maju Sdn. Bhd. (IS Tayar Maju) terletak di kawasan perusahaan IGB di sini, dengan menawarkan perkhidmatan baik pulih kenderaan, servis tayar kenderaan berat dan ringan, mengetuk serta mengecat.
Mula membuka bengkel sejak 2006, Ismail yang kini berusia 43 tahun berkata beliau sangat meminati bidang permotoran dan mempunyai diploma automotif.
Berdasarkan pengalaman dan perniagaan yang ada, Ismail turut memberi peluang kepada mereka yang mempunyai minat sama.
“Bukan setakat tempat untuk berniaga, tetapi di sini kami sediakan ruangan untuk pelajar-pelajar automotif dari beberapa pusat atau kolej untuk menjalani latihan industri,” katanya.
Is Tayar Maju juga menjadi penerima manfaat daripada kerajaan negeri Perak menerusi Yayasan Perak yang memberikan pinjaman mikro tanpa faedah sebanyak RM50,000 sewaktu peniaga berdepan situasi Covid-19 beberapa tahun lalu.
Setelah hampir 20 tahun, bengkelnya kini mempunyai 40 orang pekerja untuk melicinkan perniagaan IS Tayar Maju.
ANAK_ANAK
Tekadnya untuk membantu anak-anak Perak dilihat mampu direalisasikan lagi dengan peranannya sebagai Pengerusi Persatuan Pemilik dan Pengusaha Automotif Bumiputera Perak.
“Ada dalam 200 ahli atau pemilik bengkel yang duduk bawah persatuan ini. Saya bina rangkaian ini untuk anak-anak Perak mendapat ilmu dengan lebih berkesan dan tentang bagaimana untuk menjadi usahawan,” katanya.
Mengenai cabaran perniagaan, beliau berkata, saingan industri serta situasi ekonomi yang mencabar merupakan antara perkara yang perlu dihadapi dan ditangani.
Usahawan itu bagaimanapun bersyukur kerana semua pemain industri berusaha bersama-sama selain dibantu oleh pihak kerajaan negeri.
Komitmen itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Perak di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melalui Perak Sejahtera 2030 bagi memberi kemahiran teknikal kepada rakyat negeri itu.
Hasrat untuk memberi peluang dalam memajukan anak muda itu dilihat selari dengan flagship ke-4 dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu Koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia dan flagship ke-5 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.
“Mampu berdaya saing dan melahirkan lebih ramai usahawan termasuk anak-anak Perak dalam bidang automotif merupakan cita-cita saya dalam perniagaan ini,” kata Ismail yang berasal dari Pantai Remis. – UTUSAN