Ibu tunggal melecur, rumah terbakar

Ibu tunggal melecur, rumah terbakar

ROSNIZA Yusoff melecur di lengan kanan selepas disambar api dalam kejadian di Lorong Sate, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal melecur pada bahagian tangan kanan dan tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di Lorong Sate Baung, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Rosniza Yusoff, 45, melecur pada tangan kanan manakala anak saudaranya, Mohd.Haris Hakimin Azmi, 13, cedera ringan di tangan tangan ketika cuba menyelamat beg mereka yang sedang dijilat api.

Rosniza berkata, ketika kejadian, dia bersama tiga anak yang berusia 16 hingga 21 tahun termasuk ibunya yang berusia 75 tahun berada di dalam rumah sebelum melihat api di dalam bilik di tingkat atas rumah.

Menurutnya, kebakaran itu diselangi dengan letupan kecil dan dia menyangka kanak-kanak bermain mercun di luar rumah.

“Saya terasa bahang panas dari tingkat atas lalu naik dan api menyambar lengan apabila membuka pintu bilik.

“Menyedari api semakin marak, saya menjerit supaya anak-anak dan ibu keluar rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kejadian hari ini.

Rosniza yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit memberitahu, dia hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sebelum bergegas keluar.

Katanya, dia terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan barangan anak, Nurul Adlin Ashikin Zulkifli, 19, yang akan melapor diri untuk semester kedua di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang esok.

“Komputer riba, buku-buku nota dan barangan yang baharu dibeli semalam turut hangus dijilat api,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Alam Nasut Ilias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran dua buah rumah kira-kira pukul 12.04 tengah hari.

Menurutnya, seramai 19 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu turut membantu memadam kebakaran.

“Api berjaya dipadamkan kira-kira pukul 1.56 tengah hari. Punca kebakaran dan kerugian mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akuan Maybank milik Rosniza Yusoff iaitu 152059026448.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN