PETALING JAYA: Isteri kepada pengawal peribadi Mohd Nur Hadith Zaini mahu lelaki yang melepaskan tembakan sehingga terkena suaminya dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, dihukum seadilnya.
Siti Noraida Hassan, 38, berkata, kejayaan tersebut sedikit sebanyak melegakan hatinya yang masih terkejut dengan kejadian menimpa suaminya.
“Bersyukur dan lega. Terima kasih pada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rakyat Malaysia yang mendoakan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan tangkapan lelaki tersebut yang dilakukan di Kota Bharu, Kelantan.
Menurut beliau, suspek ditahan sekitar pukul 3 petang, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pengawal peribadi cedera selepas terkena tembakan dalam kejadian di KLIA Terminal 1, sekitar pukul 1.20 pagi.- UTUSAN