KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengakui hampir sejuta kenderaan anak-anak perantau telah memasuki negeri ini sejak Jumaat lalu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Pengarah JPJ negeri Nazili Kadir berkata, andaian itu berpandukan kepada jumlah peningkatan masuk kenderaan hasil pemantauan yang dilakukan pasukan operasi dan rondaan.
Menurutnya, kemasukan itu dipantau menerusi laluan Gua Musang, Terengganu ke Pasir Puteh dan Perak ke Jeli.
“Jika dilihat keadaan trafik, laluan masuk dari Gua Musang paling sesak sejak Jumaat lalu sebagaimana trend biasa setiap tahun.
“Berdasarkan keadaan trafik semasa, kita jangkakan hampir 1 juta kenderaan sudah masuk Kelantan sejak Jumaat lalu,” katanya semasa melakukan tinjauan aliran trafik di Jalan Kuala Krai, di sini, hari ini.
Nazili memberitahu, JPJ sudah memulakan operasi sempena Aidilfitri bermula 1 hingga 20 April nanti.
Katanya, pada masa sama seramai 150 anggota ditempatkan di lokasi bagi memantau keadaan trafik.
“JPJ juga akan menempatkan pegawai dan anggota di 15 lokasi panas yang sering berlaku kemalangan di negeri ini.
“15 lokasi itu ialah di Gua Musang, Kuala Krai Krai dan Tanah Merah,” ujarnya.-UTUSAN