PORT DICKSON: Dua rakan masing-masing didenda sebanyak RM3,500 di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan berasingan membantu kegiatan pinjaman wang tanpa lesen kepada peminjam di daerah ini, tahun lalu.
Tertuduh, V. Venod, 25, dan S. Pragasan, 28, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani.
Majistret turut menetapkan empat bulan penjara sekiranya kedua-dua tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Venod didakwa telah membantu menjalankan aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen dengan memiliki tiga kad mesin juruwang automatik (ATM) yang bukan miliknya.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Muhibbah, Sungai Pelek, Sepang, Selangor kira-kira pukul 5.30 petang pada 5 Julai 2023.
Pragasan pula dituduh telah membantu menjalankan aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen dengan memberi RM6,000 kepada seorang wanita berusia 44 tahun.
Perbuatan itu, dilakukan di sebuah taman perumahan di sini kira-kira pukul 8.47 malam pada 28 Jun lalu.
Oleh itu, kedua-duanya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 AA(1), Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pada 8 April tahun lalu, mangsa telah berjumpa dengan dua lelaki untuk membuat pinjaman serta bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM6,000 namun setelah ditolak deposit, caj dokumen perjanjian dan faedah, mangsa hanya mendapat RM4,200.
Mangsa sudah membuat pembayaran sehingga berjumlah RM9,900, namun masih diminta untuk membuat pembayaran pinjaman itu lagi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-UTUSAN.