'Bukan kalimah Allah, tapi ilustrasi tali kasut tumit tinggi' - Utusan Malaysia

‘Bukan kalimah Allah, tapi ilustrasi tali kasut tumit tinggi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pengeluar kasut Vern’s Holdings Sdn Bhd menafikan logo yang ada pada tapak kasutnya bukan menyerupai kalimah Allah seperti yang ditularkan dalam media sosial sebelum ini.

Syarikat itu menegaskan, logo berkenaan telah disalah tafsir sehingga mencetuskan kontroversi.

Menerusi kenyataan, Vern’s memberitahu, logo tersebut tidak bertujuan menghina mana-mana agama atau kepercayaan, sebaliknya hanya rekaan grafik yang menunjukkan garisan tali bersambung dengan tapak kasut tumit tinggi.

“Logo ini 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan satu kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan.

“Kami akui, terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mencetuskan salah faham, sekali gus menyinggung perasaan banyak pihak,” jelas syarikat kasut tersebut.

Sehubungan itu, Vern’s memaklumkan pihaknya sudah mengambil langkah segera dengan menghentikan penjualan kasut dan logo berkenaan, selain bersedia memulangkan kembali wang pelanggan yang sudah membeli kasut terbabit.

“Dengan rasa rendah diri, kami ingin memohon maaf daripada semua pihak dan mengharapkan belas ihsan diberi untuk kami memperbaiki kesilapan yang berlaku.

“Ini adalah pengajaran yang amat bernilai untuk kami meneliti setiap keputusan bagi memastikan perkara seperti ini tidak berlaku,” menurut syarikat itu.

Semalam, kecoh dalam media sosial selepas seorang pengguna Mohd. Haridz mendakwa logo dipercayai seakan kalimah Allah tertera di bahagian tapak kasut isterinya yang baru dibeli.

Menurutnya, sepasang kasut berjenama Vern’s itu dibeli untuk isterinya bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN