SEREMBAN: Seorang peniaga lemang daun lerek di Jalan Jelebu, Ampangan di sini mengekalkan harga lemang dijualnya tahun ini meskipun kos khususnya beras pulut meningkat.
Bagi peniaga Lemang Daun Lerek Tok Abah, Md Azizi Mohammad, 39, berkata, dia kekal menjual lemang dengan harga seperti tujuh tahun lalu iaitu RM16, RM18 dan RM20 sebatang bergantung kepada saiz lemang itu.
“Walaupun berlaku kenaikan harga kos barangan seperti beras pulut, harga lemang daun lerek saya jual tetap sama.
“Menjelang sambutan Aidilfitri beberapa hari lagi, tempahan lemang daun lerek amat menggalakkan namun saya jangkakan jualan tahun ini sedikit berkurangan.
“Mungkin tidak semeriah tahun sebelumnya namun saya tetap bersyukur kerana lemang daun lerek yang dijual masih menerima tempahan sekitar 1,000 batang menjelang hari raya ini dan 1,000 batang lagi pelanggan yang membuat pembelian terus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Md. Azizi berkata, lemang daun lerek mempunyai rasa sedikit berbeza malah mempunyai aroma tersendiri berbanding lemang menggunakan daun pisang.
“Kelebihan lemang ini adalah ia hanya perlu ditarik pada daunnya dan tidak perlu bersusah payah untuk memotong buluh seperti kebiasaan dilakukan sebelum dihidang. Kelebihan itu menjadikan lemang daun lerek yang saya usahakan sejak tujuh tahun mendapat permintaan dalam kalangan golongan muda dan pertengahan,” katanya lagi.