Bapa tunggal curi kereta untuk sara hidup anak

Bapa tunggal curi kereta untuk sara hidup anak

ISA semasa ditemu bual oleh wartawan selepas dibebaskan menerusi Program Ihsan Madani Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang, Kelantan hari ini. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Desakan hidup akibat tiada kerja tetap menyebabkan seorang bapa tunggal sanggup mencuri kereta di sebuah bengkel untuk menyara kehidupan bersama seorang anak perempuannya di Binjai, Kota Bharu, dekat sini tahun lalu.

Perbuatan itu mengakibatkan lelaki dikenali sebagai Isa, 40, dihukum penjara di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang di sini selama tujuh bulan.

Menurutnya, dia ketika itu terpaksa mencuri kerana tidak mampu menyara anak perempuannya yang berusia 15 tahun selepas berpisah dengan isteri lebih 10 tahun lalu.

“Saya dan anak pernah tidak makan seharian kerana tidak mempunyai wang belanja. Saya terpaksa mencuri kereta sebelum menjualnya untuk memperoleh wang untuk hidup.

“Saya tidak dapat berfikir secara rasional ketika melakukan perbuatan itu. Paling menyedihkan, saya membawa anak perempuan bersama ketika mencuri kereta,” katanya pada Program Ihsan Madani Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di PPA Machang, di sini semalam.

Isa berkata, dia sudah sedar dan insaf dengan perbuatannya selepas menjalani hukuman penjara hampir tujuh bulan.

Katanya, dia banyak mendalami perihal ilmu agama sepanjang berada di PPA.

JAGAAN

“Anak saya kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semasa saya menjalani hukuman penjara.

“Insya-Allah saya akan mempelajari ilmu agama di sekolah pondok selepas dibebaskan nanti. Saya berjanji akan menjaga anak tunggal dengan lebih baik apabila dibebaskan tidak lama lagi,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi banduan yang dikenali sebagai Nabil, 29, berkata, dia sebelum ini mengaku tidak pernah serik apabila tiga kali ditahan akibat kesalahan menagih dadah.

Katanya, hukuman penjara kali ketiga selama tujuh bulan benar-benar memberi keinsafan kepadanya dan tidak akan mengulangi kesilapan sama selepas ini.

“Saya kini menyesali perbuatan lalu dan berharap dapat bekerja dan mempunyai masa depan yang lebih baik apabila dibebaskan tidak lama lagi.

“Saya bersyukur dapat dibebaskan sempena lebaran tahun ini menerusi Program Ihsan Madani Kepulangan Yang Dinanti selepas dipenjara selama tujuh bulan,” ujarnya.

Nabil berkata, dia ingin mengunjungi pusara kedua ibu bapanya pada 1 Syawal dan akan turut bertemu adik-beradik yang lain untuk memohon maaf selepas dibebaskan pada 11 April ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN