MARANG: “Saya insaf dengan hukuman yang dijalani di Penjara Marang dan tidak sabar kembali ke pangkuan keluarga pada Aidilfitri ini,” kata Zul (bukan nama sebenar).
Zul yang berusia 29 tahun adalah antara 163 banduan dari Penjara Marang, di sini yang dilepaskan semalam melalui program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBLS) Ihsan Madani – Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidilfitri 2024.
Bekas pekerja bengkel kereta itu mula menjalani hukuman sejak 28 Januari lalu kerana kesalahan dadah.
Zul yang berasal dari Kampung Saujana, Setiu berkata, dia bersyukur kerana terpilih dibebaskan menerusi program itu dan tidak sabar hendak memulakan hidup baharu dengan bekerja di sebuah kilang pembuatan keropok di Besut.
“Mula-mula dipenjarakan, memang saya sangat menyesal kerana sedar kesilapan diri selama ini yang mengabaikan agama dan tanggungjawab.
“Paling dirindukan pastinya keletah ayah dan adik-beradik kerana mereka tetap setia melawat saya sepanjang berada di penjara serta mahu melawat pusara ibu sebaik sahaja dibebaskan.
“Insya-Allah saya ingin menebus semua kesalahan dulu, ingin menjaga keluarga dan mendalami ilmu agama selepas ini,” katanya.
Bagi seorang lagi banduan, Pok Cek (bukan nama sebenar) yang berusia 26 tahun pula, pengalaman berada di penjara sangat bermakna buat dirinya.
“Banyak yang saya belajar sejak dipenjarakan pada 20 Januari lalu terutama al-Quran, menghormati orang tua dan hukum Islam.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk berubah menjadi insan yang lebih baik dan dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga,” katanya. – UTUSAN